BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 3 November 2009

Sentuhan pertama cat minyak...

Jumaat, 30 Oktober 2009

karya poster colour...

Biarpun karya ini tidak seberapa, namun ia tetap karya...huhu!

Selasa, 27 Oktober 2009

Catan...akhirnya assignment catan cat minyak berjaya disiapkan...



Buat pertama kalinya menyentuh cat minyak...keyakinan adalah samar-samar; tertanya-tanya tentang kemampuan diri untuk membuat palitan warna di atas kanvas. Namun, setelah membuat pemerhatian terhadap sumber-sumber catan cat minyak yang ada, juga karya rakan-rakan yang ada antaranya agak hebat...maka diri ini mendapat sedikit ilmu tentang bagaimana mengendalikan cat minyak di atas kanvas. Akhirnya berjaya juga menyiapkan catan cat minyak yang dikehendaki. Biarpun hasilnya tidak setanding mereka yang hebat dan pakar, namun untuk percubaan pertama...rasanya ok kot? Huhu!

Contoh catan cat air yang cukup menarik

Kelembutan sentuhan berus yang amat terperinci, kemas dan penuh penghayatan... hasilnya - wujudlah karya yang benar-benar indah dilihat...





Khamis, 3 September 2009

Antara contoh catan cat minyak yang hebat...



Rangkuman Seni Catan secara umum...

Sinopsis

Kursus ini berfokus kepada prinsip utama dalam menghasilkan catan yang tertumpu kepada aspek kefahaman dan penguasaan elemen dan prinsip rekaan terhadap pembentukan karya. Penekanan diberikan kepada kemahiran menguasai media dan teknik yang merangkumi cat akrilik, cat poster, cat minyak dan cat air. Selain itu penekanan kepada proses artistik dalam penghasilan sesebuah karya catan juga diberi keutamaan.

Hasil Pembelajaran
1. Menguasai ilmu mengenai elemen dan prinsip dalam pengkaryaan catan.
2. Membuat eksplorasi dan eksperimen bahan dan media catan.
3. Menghasilkan kajian analitikal terhadap hal benda, bentuk dan makna dalam penghasilan karya catan.
4. Menguasai teknik-teknik dalam catan melalui media yang dipelajari.
5. Menilai estetika dan kreativiti dalam catan.

Kandungan
1. Latar belakang, pelukis dan aliran
2. Bentuk dan makna dalam karya catan
3. Isu dan konteks dalam catan
4. Kajian visual dan penghasilan portfolio
5. Proses artistik dan perkembangan
6. Aplikasi alat, media dan bahan dalam catan
7. Artistik dan estetik dalam catan

Rujukan
Orvirk, Wigg, Bone, Cayton. (1998). Art
Fundamental Theory and Practice, New York: McGraw
Hill.
Betti, C. (1997). Drawing A Contemporary
Approach, Harcourt: McGraw Hill.
Collins (1995). Artist’s Manual – The Complte Guide
to Painting and Drawing Materials & Techniques,
London: Harper Collins Publisher.
Derkatsch, I. (1980). Watercolor Painting Methods
and Materials, New Jersey: Prentice-Hall Inc.
Galton, J., Martin, J. (1995). Drawing and Painting
in Color, London: New Berlington.

Isnin, 31 Ogos 2009

Media

Cat Air

Bahan warna dalam karya cat air ialah pewarna dalam bentuk kek atau tiub. Ia bersifat lut sinar, lembut dan boleh dibuat legap sekiranya cat air dari tiub. Cat air akan menjadi tebal sekiranya disapu berlapis-lapis. Bahantara yang digunakan ialah air. Kertas yang digunakan ialah kertas cat air. Berus yang sesuai digunakan untuk karya cat air ialah jenis lembut dan beraiz antara 000 hingga 14. Palet juga diperlukan untuk membancuh warna. Sebuah bekas seperti gelas atau botol yang bermulut lebar diperlukan untuk mengisi air bersih dan untuk mencuci berus.


Cat Poster

Cat poster boleh didapati dalam tiub atau botol. Ia mengandungi pengilat larut air dan bersifat legap. Bahantara yang digunakan ialah air. Berus yang digunakan untuk berkarya menggunakan cat poster ialah jenis lembut dan keras. Manakala kertas daripada jenis ‘cartridge’ yang tebal dan berpermukaan licin digunakan. Air yang bersih diperlukan untuk menghasilkan campuran warna.


Cat Tempera

Bahan warna berbentuk serbuk atau perekat dalam tiub yand=g sedia proses. Ia mengandungi bahan pengilat seperti kuning telur atau gam cecair. Untuk menghasilkan karya menggunakan cat tempera, alat dan bahan yang digunakan ialah berus jenis lembut atau keras, kertas tebal, kain kanvas atau papan. Biasanya teknik yang diaplikasikan ialah disapu mengikut lapisan yang nipis, jalur sapuan diselang-selikan supaya kesan warna rata dan licin.


Cat Minyak

Cat minyak telah diperoleh dalam bentuk tiup. Bahantara untuk menggunakan cat minyak ialah turpetine. Bahan pengilat yang boleh digunakan ialah minyak linsid, minyak poppy atau minyak kacang. Berus yang digunakan adalah jenis lembut dan keras, pisau palet, kekuda, kanvas, papan, kayu playwood dan kadbod. Teknik yang diaplikasikan ialah teknik lipasto, glazing, cat tepat atau hardedge, titik scumbling atau teknik melembut.

Cubism Painting


Peniruan semula karya 'Merlot'

Pop Art Painting


Peniruan semula karya 'Julian Moore'

Ahad, 30 Ogos 2009

Disebalik catan...Teknik dan Warna.

Teknik Catan

1. Teknik Basah Atas Kering

Ciri-ciri

Teknik ini melibatkan sapuan warna basah ke atas permukaan kertas yang kering untuk menghasilkan kesan legap. Teknik ini banyak digunakan kerana sesuai dengan beberapa jenis media dan agak senang dikawal sapuan warnanya. Teknik ini juga boleh menggunakan warna yang basah dan disapukan ke atas lapisan warna yang telah kering bagi mendapatkan kesan lut sinar.

Campuran Warna

Campuran warna yang hendak digunakan haruslah tidak pekat dan tidak terlalu cair. Kertas hendaklah kering. Sapuan berus yang spontan adalah digalakkan.

Cara

Warna disapu ke atas kertas lukisan yang kering. Mulakan dengan lapisan yan nipis dan ditindih berperingkat-peringkat dengan ton yang semakin gelap. Untuk mendapatkan kesan transparensi, basahkan berus dan celup ke dalam warna yang cair, sapu di atas kertas lukisan. Biarkannya kering dan ulangi aktiviti yang sama.


2. Teknik Basah Atas Basah

Ciri-ciri

Teknik ini melibatkan sapuan warna cair ke atas permukaan kertas yang basah. Ia menghasilkan kesan lut sinar. Teknik ini merupakan teknik yang dramatik bagi media cat air dan yang paling sukar untuk dikawal sapuannya. Pelukis harus membiarkan warna terdahulu yang masih lembap. Sapuan warna berikutnya adalah lebih tinggi kandungan air dan pewarnanya. Jika tidak, warna akan bercampur dan hasilnya nampak kotor.

Campuran warna

Campuran warna hendaklah tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Sebaik-baiknya ia harus mempunyai nilai warna yang cukup terang. Ini kerana warna cat air akan nampak kurang cerah apabila kering. Gunakan sapuan berus yang spontan.

Cara

Kertas dibasahkan dengan satu lapisan air atau warna yang cair. Warna disapukan apabila permukaan masih basah. Jika menggunakan lakaran pensel, elakkan daripada memadam garisan kerana ini akan menimbulkan kesan berbulu. Seterusnya ia akan meninggalkan kesan kering berlegap.


3. Teknik Berus Kering

Ciri-ciri

Teknik yang melibatkan sapuan warna terus dari tiub ke atas permukaan kertas. Teknik ini boleh juga melibatkan sapuan warna yang pekat ke atas lapisan warna yang telah kering untuk menghasilkan kesan jalinan. Ia akan memberi kesan kering berlegap.

Campuran warna

Gunakan warna terus dari tiub atau bancuhkan warna yang dikehendaki itu dahulu dengan pekat. Kertas hendaklah kering. Sebaik-baiknya, asingkan warna yang telah dibancuh.

Cara

Gunakan berus yang kering untuk mengambil warna yang telah dibancuh. Warna disapukan dengan rata pada bahagian tertentu di atas permukaan kertas yang kering. Sapukan pada bahagian tersebut satu demi satu supaya warna pada setiap bahagian tidak bercampur. Gunakan berus yang halus bagi menandakan jalinan yang halus. Jika ingin menimbulkan kesan tindihan, biarkan warna kering dahulu. Kemudian, sapukan warna yang pekat ke atas lapisan warna yang telah kering.


4. Teknik Kecatan

Ciri-ciri

Teknik ini melibatkan sapuan warna terus dari tiub. Kertas sentiasa basah sehingga catan selesai dibuat. Catan jenis ini memberi kesan jalinan dan kekasaran. Melalui teknik ini, catan kelihatan bebas, semula jadi dan spontan.

Campuran warna

Warna yang pekat dari tiub digunakan. Sapuan warna terus dari tiub atas kertas. Jika hendak menggunakan air, hanya gunakan sedikit sahaja.

Cara

Ambil warna terus dari tiub dan sapukan pada permukaan kertas lukisan. Campuran warna yang kedua ditindihkan di atas warna yang pertama tanpa menunggu warna itu kering. Kertas sentiasa basah sehingga catan selesai dibuat.